Kerajaan Pahang suntik RM30,000 untuk bawa pulang Kamarulzaman 

Kerajaan Pahang suntik RM30,000 untuk bawa pulang Kamarulzaman 

JERANTUT: Kerajaan Pahang menyuntik sumbangan kira-kira RM30,000 buat warga Pahang yang kini dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju, Korea Selatan. 

Sumbangan berkenaan bertujuan menampung tunggakan bil rawatan dan kos membawa pulang Kamarulzaman Mohd Fauzi @ Jazuli, 50, yang berasal dari Batu Balai, Jerantut, ke Malaysia. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Dato’ Nazri Ngah berkata, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail amat bersimpati dengan mangsa dan bersetuju untuk membantunya. 

Menurutnya, Kamarulzaman sudah sedar daripada koma dan berita itu disampaikan oleh sepupunya, Solaha Adlan, yang kini menjaganya di negara berkenaan. 

Katanya, usaha itu dimulakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Damak yang memohon bantuan kerajaan negeri untuk membawa pulang Kamarulzaman bagi rawatan susulan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).

“Saya sudah pun memberitahu kelulusan bantuan itu kepada sepupu Kamarulzaman iaitu Noriza Yaakob dalam satu majlis ringkas. Sumbangan itu akan terus disalurkan ke akaun sepupu Solaha Adlan,” katanya. 

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah pun memberikan sumbangan awal RM10,000 kepada keluarga Kamarulzaman bagi menampung bayaran bil hospital ketika dia mula menerima rawatan di negara itu, pada 30 Januari lalu. 

“Kita akan segera menyalurkan sumbgangan itu kepada Solaha dalam masa terdekat bagi memudahkan dia menguruskan bayaran hospital yang tertunggak dan menguruskan penerbangan pulang ke tanah air,” katanya. 

Sementara itu, Noriza yang mewakili keluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada  YAB Menteri Besar dan Kerajaan Pahang yang begitu prihatin membantu mereka bagi memudahkan urusan membawa pulang Kamarulzaman. – MUHAMMAD NAJMIE