Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Sebanyak 16 kenderaan disumbangkan kerajaan negeri bagi kegunaan sekolah, agensi dan masjid di bawah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tahun ini.
Terbaru, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova diserahkan kepada pengurusan Masjid Negeri, hari ini.
Berkongsi perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kenderaan berharga hampir RM115,000 itu diserahkan sendiri YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kepada Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Dato’ Badlishah Alauddin.
“Pagi ni sempat saya mengikut YAB Dato Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail, menyerahkan kenderaan untuk Masjid Sultan Ahmad Shah (Masjid Negeri).
“Sumbangan ini diterima sendiri Imam Besar Masjid Negeri, Ybhg Ustaz Dato Badlishah Alaudin. Semoga dengan sumbangan ini mampu memberi kemudahan untuk aktiviti masjid,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Untuk rekod, selain penyerahan hari ini, Kerajaan Pahang sudah menyerahkan sebanyak 13 van kepada 13 sekolah menengah agama negeri (SMAN) dan dua Proton Exora untuk Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Raub serta Bera.