Kerajaan Pahang tanam semula pokok di tapak projek Empangan Hidroelektrik Tekai Tembeling

Kerajaan Pahang tanam semula pokok di tapak projek Empangan Hidroelektrik Tekai Tembeling

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan Pahang sedang giat memulihkan tapak projek Empangan Hidroelektrik Tekai Tembeling, Jerantut yang dibatalkan pada 2019 dengan projek penanaman pokok baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata untuk itu, satu perjanjian penghutanan semula ditandatangani antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat swasta pada 25 Mac lalu.

Beliau berkata, langkah itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk memulihara kawasan hutan di lokasi berkenaan selepas projek terbabit dibatalkan. 

“Saya dimaklumkan berhubung satu laporan media berhubung kemusnahan kawasan hutan di kawasan projek pembinaan Empangan Hidroletrik Tekai Tembeling, Jerantut. Kerajaan Pahang memandang serius perkara ini dan ingin membuat beberapa penjelasan. 

“Kerja-kerja pembalakan untuk penyediaan projek ini dimulakan sejak 2014 dan ia dilakukan secara berperingkat. Sehingga 2019, seluas 9,896.29 hektar telah diusahasil bagi projek pembinaan empangan ini. 

“Pada 8 November 2019, Kerajaan Persekutuan telah membatalkan Projek Empangan Hidroeletrik Tekai Tembeling dan pemakluman kepada Suruhanjaya Tenaga berhubung pembatalan ini telah dihantar pada 29 November 2019.

“Justeru, ingin ditegaskan bahawa pembatalan projek daripada kerajaan persekutuan ini adalah selepas lima tahun kerja-kerja persediaan pembinaan empangan dijalankan.

“Pada 25 Mac 2021 Kerajaan Pahang telah menandatangani Perjanjian Penghutanan Semula bersama sebuah syarikat swasta bagi menanam semula kawasan projek Hidroelektrik Tekai Tembeling yang telah dibatalkan ini dan kerja-kerja penanaman semula sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.