Oleh Kamal Ismail
kabhiismail@fikrahpahang.com.my
MENTAKAB: “Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa dan keprihatinan Kerajaan Pahang khususnya Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Begitu juga terima kasih buat Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang).
“Tanpa bantuan mereka, tak tahulah bagaimana kami nak meneruskan kehidupan,” kata Abas Rahim, 78, ketika ditemui Mohd Sharkar di rumah warga emas itu di Kampung Batu Kapor, di sini, hari ini.
Abas adalah mangsa kejadian ribut yang merosakkan 16 kediaman penduduk di Kampung Batu Kapor dan Kampung Sungai Buloh, pada kejadian 5.45 petang, 2 Ogos lalu.

Bagaimanapun, nasib mereka terbela apabila Kerajaan Pahang bersetuju menanggung kos baik pulih semua kediaman mangsa dengan nilai keseluruhan RM51,981.
“Ternyata Kerajaan Pahang begitu prihatin dengan nasib kami apabila dengan segera menghulurkan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang turut meninjau beberapa rumah mangsa di kedua-dua kampung terbabit.