Kerajaan Pahang tanggung kos pengurusan jenazah COVID-19

Kerajaan Pahang tanggung kos pengurusan jenazah COVID-19

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan Pahang akan menanggung kos pengurusan jenazah bagi mangsa COVID-19 di negeri ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu diambil pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang di sini, semalam.

“Kita ambil keputusan menanggung kos bagi kerja-kerja pengurusan jenazah mangsa COVID-19 di negeri ini, sambil mengalu-alukan sumbangan semua pihak untuk turut terlibat dengannya.

“Ini sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Pahang yang peka terhadap beban kewangan yang terpaksa ditanggung keluarga waris,” katanya pada satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengurusan jenazah berkaitan COVID-19 diuruskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan khidmat badan sukarelawan yang mengenakan kadar bayaran tertentu kepada keluarga waris.

“Bayaran itu bagi kerja-kerja mengkafan, tayammum, solat, menggali kubur dan pengebumian, selain menyediakan kain kafan, keranda dan PPE (peralatan perlindungan peribadi) untuk petugas. 

“Dengan keputusan MMK Pahang semalam, badan-badan sukarela terbabit boleh menuntut bayaran daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) khususnya di masjid-masjid daerah,” katanya. 

Sementara itu, katanya, mesyuarat MMK Pahang semalam juga memutuskan supaya satu tabung khas berkaitan pengurusan jenazah COVID-19 yang dikendalikan oleh JAIP ditubuhkan.

Menurutnya, sebagai permulaan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sudahpun bersetuju menyalurkan RM200,000 ke tabung khas berkenaan.    

“JAIP akan meminta semua masjid di negeri ini untuk turut membuat kutipan khas dalam kalangan kariah masjid masing-masing, bagi turut disalurkan ke tabung bantuan khas ini.

“Adalah diharapkan, keputusan kerajaan negeri ini mendapat kerjasama baik semua pihak untuk menjayakannya, Insya-Allah,” katanya.