Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Atas dasar belas dan simpati, Kerajaan Pahang menawarkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 secara percuma kepada lapan beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata apabila kedua ibu bapa mereka meninggal dunia angkara COVID-19, baru-baru ini.
Arwah bapa mereka, Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai lalu diikuti ibu, Noraini Ibrahim, 43, dua hari selepas itu.
Difahamkan, arwah bapa mereka mempunyai sejarah penyakit iaitu pernah menghidap angin ahmar 10 tahun lalu, manakala ibu pula mempunyai penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi.
Lebih mengharukan, anak sulung keluarga itu, Nazurah Nabilah Benyajeed hanya berumur 19 tahun, manakala adik-adiknya pula baru berusia empat hingga 18 tahun dan kini tinggal menyewa bersama-sama ibu saudara mereka di Rawang, Selangor.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rumah berkenaan akan dibina di kampung asal arwah ibu dan datuk serta nenek mereka di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.
Katanya, sementara menunggu rumah berkenaan siap, rumah sewa sementara akan disediakan dan dibiayai oleh kerajaan negeri.
“Saya turut bersedih dan bersimpati dengan nasib kelapan-lapan beradik ini dan demi melihat mereka kekal tinggal serumah bersama-sama ibu saudara mereka itu, Kerajaan Pahang membuat tawaran RRP, manakala ibu saudara mereka akan diberikan elaun bulanan sewajarnya.
“Selain itu, Yayasan Pahang (YP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan membiayai pendidikan mereka yang masih bersekolah manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sedia menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan bulanannya.
“Pegawai pejabat saya sudah menghubungi cik Nazurah dan saya berharap, tawaran ini akan diterima,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan lapan beradik itu menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat COVID-19.
Kisah lapan beradik itu tular di media sosial sejak minggu lalu dan mendapat perhatian ramai selepas menjadi yatim-piatu sekelip mata apabila ibu bapa meninggal dunia kerana COVID-19.