KUANTAN: Sejumlah RM25 juta diterima Kerajaan Pahang daripada tiga anak syarikat kerajaan negeri, hari ini.
Sumbangan itu diterima oleh YAB Menteri Besar, YAB Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Alhamdulillah, kesan daripada tadbir urus yang cekap oleh syarikat-syarikat milik Kerajaan Pahang sejak empat tahun kebelakangan ini, hasil keuntungannya dipulangkan semula kepada kerajaan negeri.
“Pagi ini, saya menerima sumbangan berjumlah RM25 juta daripada tiga anak syarikat milik kerajaan negeri,” kata Wan Rosdy menerusi hantaran di Facebook.
Tiga anak syarikat berkenaan ialah Yayasan Pahang yang menyumbang RM10 juta, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) (RM10 juta) dan LKPP Corporation (RM5 juta).
Wan Rosdy berkata, sumbangan yang diterima itu sudah tentu akan disalurkan kembali kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan atau projek pembangunan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN