KUANTAN: Selepas mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM1,200 kepada setiap penjawat awam di Pahang, kali ini giliran guru sekolah agama rakyat dan kakitangan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sumbangan kerajaan negeri.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail, berkata bantuan itu bagi membantu penerima berbelanja dan menyediakan persiapan raya.
Katanya, ia juga membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk menunaikan janji mengembalikan pendapatan negeri kepada rakyat.
“Kerajaan negeri sedar mengenai khidmat bakti dan jasa guru-guru di sekolah agama rakyat dalam mendidik anak bangsa menjadi insan berguna kepada masyarakat.
“Saya juga difahamkan, seramai 42 peratus daripada kakitangan UnIPSAS terdiri daripada golongan B40 dan bantuan ini diharapkan membantu mereka menyambut lebaran yang cuma tinggal beberapa hari saja lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewangan Aidil Fitri kepada Guru-Guru Sekolah Agama Rakyat Negeri Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Seramai 81 guru agama di lapan sekolah rendah agama rakyat dan empat sekolah menengah agama rakyat menerima sumbangan sebanyak RM700 seorang berkenaan hari ini.
Bantuan Aidilfitri kepada kakitangan UnIPSAS pula membabitkan jumlah sebanyak RM263,700. – HELMY ABD RAHMAN