Kerajaan Pahang umum Bantuan Khas Aidilfitri 2023, penjawat awam negeri dapat RM1,200

KUANTAN 04 APRIL 2023 (Fikrah Pahang), Kerajaan Negeri Pahang bersetuju memberi Bantuan Khas Aidilfitri 2023 berjumlah RM12.95 juta membabitkan lima kategori penerima di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kategori pertama seramai 8,000 penjawat awam negeri Pahang akan menerima RM1,200 manakala kategori kedua terdiri 700 anak yatim yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) akan menerima RM200 seorang.

Beliau berkata, kategori ketiga pula seramai 4,500 pesara kerajaan Pahang dan kategori keempat 7,000 ibu tunggal miskin yang akan menerima RM200 setiap seorang.

Bagi kategori kelima kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang menerima RM500 seorang, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) dan Tok Batin turut menerima RM500 seorang. Manakala, RM200 setiap seorang kepada Setiausaha JPKK membabitkan seramai 2,773 orang.

Katanya lagi, Bantuan Khas Aidilfitri itu membabitkan implikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM12,956,900 yang bakal memberi manfaat kepada 22,973 penerima.

“Saya berharap bantuan kewangan ini dapat meringankan beban para penjawat awam negeri ini dalam membuat persediaan menyambut Aidilfitri nanti. Namun, berbelanjalah secara berhemah dan berjimat-cermat,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Oleh: KABHI ISMAIL