Kerajaan Pahang unjur peningkatan hasil 4.52 peratus tahun depan

Kerajaan Pahang unjur peningkatan hasil 4.52 peratus tahun depan

KUANTAN: Selepas merekodkan perolehan lebih RM1 bilion tahun ini, Kerajaan Pahang mengunjurkan hasil sebanyak RM1.08 bilion untuk tahun depan.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata unjuran peningkatan hasil sebanyak 4.52 peratus itu adalah tertinggi dalam sejarah negeri ini. 

“Tahun lalu ketika pembentangan Belanjawan Pahang 2022, kita letak sasaran RM1.03 bilion dan angka terbaru hari ini menunjukkan ia sudah dicapai. 

“Untuk tahun depan, kita sasarkan peningkatan 4.52 peratus lagi kepada RM1.08 bilion. Daripada jumlah itu, RM1.07 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM318 juta lagi untuk pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, perbelanjaan mengurus membabitkan pemberian emolumen, bayaran tetap, perbelanjaan lain dan aset. 

Katanya, perbelanjaan pembangunan pula meliputi projek infrastruktur termasuk projek bekalan air yang turut membabitkan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan. 

“Kita akan melaksanakan lima strategi utama iaitu merangsang kemajuan ekonomi, memperkukuh tadbir urus, membangunkan infrastruktur mampan, menjamin kesejahteraan rakyat dan membina generasi masa depan yang gemilang. 

“Semua strategi ini adalah bagi memastikan sasaran pencapaian kerajaan negeri untuk tahun depan boleh dicapai,” jelasnya. 

Terdahulu ketika memulakan pembentangan, Wan Rosdy memberitahu kerajaan Pahang berjaya mencatatkan hasil sebanyak RM1.037 billion. 

“Pencapaian ini amat membanggakan dan meletakkan Pahang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri Johor dan Selangor. 

“Selain itu, sehingga 30 September lalu, Pahang sudah mengumpulkan pelaburan berjumlah RM20.56 bilion dan ini petunjuk jelas keyakinan pelabur terhadap potensi serta kestabilan yang ada di negeri ini,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN