Kerajaan percepat projek tangani banjir di Janda Baik, kata KSN

Kerajaan percepat projek tangani banjir di Janda Baik, kata KSN

BENTONG: Kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan penyelesaian bagi menangani masalah banjir di Janda Baik, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Katanya, kerajaan menyediakan kira-kira RM400 juta bagi menangani masalah itu yang sering menghantui masyarakat sekitar.

“Saya dimaklumkan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) akan melihat sendiri apa tindakan yang boleh kita ambil untuk jangka pendek dan panjang sebab kalau kita hanyak selesaikan bagi tempoh pendek sahaja, bila hujan lebat akan berlaku banjir lagi.

“Kejadian ini (banjir kilat) tidak dapat dijangka, dalam tempoh tiga hingga empat jam sahaja tetapi ia cepat surut. Kita (kerajaan) telah bincangkan dan jemaah menteri juga sudah membincangkan masalah ini dan bersetuju perlu ada tindakan menyeluruh… mungkin buat tebatan atau mungkin perlu kolam takungan.

“Kita dah ada sebanyak RM400 juta untuk menangani masalah ini dan ia akan dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan dan menyampaikan bantuan kecemasan RM1,000 kepada 160 ketua isi keluarga (KIR) mangsa banjir kilat dan tanah runtuh di Janda Baik. 

Terdahulu, Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan memberikan bantuan kecemasan RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan itu. 

Fikrah Pahang sebelum ini melaporkan hujan lebat di kawasan hulu sehingga mengakibatkan limpahan air sungai berhampiran antara faktor utama banjir kilat melanda Janda Baik, Bentong, semalam.

Antara faktor lain pula, kejadian itu lanjutan daripada keadaan sungai yang cetek disebabkan banjir besar pada  17 Disember 2021. – HELMY ABD RAHMAN