Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUALA LUMPUR: Projek-projek perumahan terutama untuk golongan berpendapatan rendah akan diteruskan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata untuk itu, Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.5 bilion yang akan digunakan antaranya bagi meneruskan program rumah mesra rakyat dan bantuan menyelenggara perumahan rakyat.
“Setiap daripada Keluarga Malaysia berhak memiliki rumah kediaman sebagai keperluan kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen, hari ini.
Menurutnya, pada masa sama, Kerajaan Pusat tidak lagi mengenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi pelupusan oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan selain syarikat mulai tahun keenam dan ke atas.
“Untuk tahun hadapan, kerajaan menyediakan jaminan sebanyak RM2 bilion kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi memberi akses pembiayaan kepada pekerja gig, pengusaha kecil dan petani.
“Saya mendengar keluhan pekerja gig, pengusaha kecil dan petani yang sukar membeli rumah kerana tiada pendapatan tetap sehingga menyebabkan mereka sukar mendapatkan pinjaman perumahan (sedangkan) ada antara mereka sebenarnya mempunyai keupayaan membayar balik pinjaman, tetapi tiada bukti pendapatan tetap,” katanya.