Kerajaan Pusat ‘restu’ cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di Gebeng

Kerajaan Pusat ‘restu’ cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di Gebeng

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan Persekutuan memberi ‘lampu hijau’ terhadap cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di kawasan perindustrian Gebeng di sini, kata YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, menerusi mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara baru-baru ini, memberi persetujuan supaya projek terbabit dikaji secara lebih lanjut.

“Maknanya tiada halanganlah daripad Kerajaan Persekutuan dan beberapa agensi lain dan kita boleh meneruskan projek (pembinaan) lapangan terbang ini.

“Projek ini adalah perancangan jangka panjang yang akan dibangunkan mengikut fasa sehingga 2050 dan selain pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa, ia membabitkan pembinaan pusat beli-belah, hotel dan sebagainya yang akan dibangunkan secara penswastaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sesi Roadshow Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Unit Perancangan Ekonomi (Upen), Jabatan Perdana Menteri bersama Kerajaan Pahang di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau sempat menghadiri program terbabit bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, projek berkenaan sememangnya perlu dilaksanakan berikutan keperluan Pahang dan negeri berjiran untuk mempunyai lapangan terbang antarabangsa. 

“Sekiranya lapangan terbang baharu ini dapat direalisasikan, ia akan mewujudkan penerbangan terus dari negara luar terus ke Kuantan,” katanya.

Selain itu, katanya, proses naik taraf atau pembesaran lapangan terbang Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah tidak dapat dilakukan kerana ia ‘dikongsi’ dengan  lapangan terbang Pangkalan Udara Kuantan (TUDM).

“Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah sedia ada ‘menumpang’ lapangan terbang Pangkalan Udara Kuantan (TUDM) dan sekiranya projek lapangan terbang antarabangsa di Gebeng direalisasikan, lapangan terbang sedia ada akan dikembalikan kepada TUDM,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menyenaraikan 13 projek mengikut keutamaan pada RMK-12.

“Ia termasuk tujuh projek pembinaan jalan raya di negeri ini. Secara keseluruhan, kita mohon 731 projek bernilai RM50 bilion, tapi ini apa yang kerajaan negeri mohon sahaja,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, pruntukan untuk pembangunan dalam RMK012 bagi 2022, akan dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat ini.

“Projek sambungan dan yang sedang dalam pembinaan di Pahang, akan diteruskan, manakala permohonan untuk projek baharu akan dipertimbangkan.

“Kita akan beritahu YAB Menteri Besar apabila Menteri Kewangan bentangkan belanjawan, seminggu selepas itu kita dapat senarai projek dan kita akan urus melaui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Pahang),” katanya.