Kerajaan rancang bina pusat sehenti terbesar di Betau

Kerajaan rancang bina pusat sehenti terbesar di Betau

LIPIS: Kerajaan negeri merancang membina ‘one stop centre’ yang terbesar di Betau bagi kemudahan Orang Asli berurusan tanpa perlu pergi ke pekan Sungai Koyan, bandar Kuala Lipis dan Raub, yang jaraknya hampir 100 kilometer.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek kemudahan asas seperti itu akan dilakukan menerusi perancangan dan penyelenggaraan di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Kemudahan awam itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 15,000 Orang Asli di pusat pertumbuhan baharu Pos Betau,” katanya berucap merasmikan Sambutan Hari Orang Asli Sedunia peringkat negeri di Pos Pantos, Ulu Jelai, dekat sini, semalam.

Sempena majlis itu, beliau turut menyampaikan replika cek berjumlah RM1.4 juta, iaitu bantuan bakul makanan kepada Tok Batin yang mewakili setiap daerah dan inisiatif kebajikan untuk penduduk warga emas, penyakit kronik, mangsa banjir, membaikpulih rumah dan peralatan perniagaan bernilai RM216,500.

“Kemudahan secara berperingkat ini mula direalisasikan apabila Kementerian Pendidikan sudah menyiapkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) untuk pelajar Orang Asli mengikuti pembelajaran sehingga ke Tingkatan Lima,” katanya. 

Menurutnya, projek seperti SMK dan pusat perniagaan adalah antara yang terbaharu serta amat perlu untuk menaiktaraf Pos Betau sebagai pusat pertumbuhan baharu selari dengan taraf peningkatan hidup Orang Asli di kawasan itu. – AIN HUDA AMIR