KERAJAAN Pahang mengumumkan sumbangan sekali bayar RM300 kepada seribu atlet Pahang, hari ini.
Bayaran diumumkan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Pelancaran Pahang Pride Athlete serta pembukaan Akademi Golf dan E-Sport Pahang, di Kuantan.
Wan Rosdy berkata, sumbangan itu membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM300,000 sebagai menghargai sumbangan atlet.
“Sumbangan ini diberikan sebagai menghargai atlet yang berhempas pulas berjuang untuk mengharumkan nama negeri dan negara.
“Tahun ini, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM11 juta bagi pembangunan sukan di negeri ini termasuk Program Pahang Pride Athlete.
“Peruntukan itu membabitkan pelbagai program kerana kerajaan negeri berhasrat untuk mewujudkan satu garis panduan bagi mengukur dan mengiktiraf kemajuan serta pencapaian sukan anak Pahang,” katanya.
Bagi membantu atlet dan penggiat sukan yang menceburi bidang keusahawanan, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM8.2 juta kepada golongan itu.
“Kita harap dengan peruntukan ini dapat membantu mereka menjana pendapatan,” katanya.
Mengulas pelancaran Pahang Pride Athlete, Wan Rosdy berkata, program itu diyakini bakal melahirkan atlet Pahang yang berprestasi tinggi pada masa depan.
Selain penyediaan kemudahan dalam melahirkan atlet yang berkualiti tinggi, katanya, matlamat utama adalah untuk menjadikan Pahang sebagai hub sukan atau pusat tumpuan kepada kemajuan sukan di Pantai Timur.
“Saya berharap dengan segala perancangan, peruntukan dan pelaksanaan pembangunan atlet ini, kita mampu melahirkan lebih ramai jaguh bertaraf dunia dalam semua bidang sukan,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN