Kerajaan sedia tambah aset dan sukarelawan untuk bantu mangsa bencana alam

Kerajaan sedia tambah aset dan sukarelawan untuk bantu mangsa bencana alam

MARAN: Kerajaan bersedia menambah aset, keperluan dan anggota pasukan berwajib untuk membantu mangsa bencana alam contohnya banjir. 

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Dr Ismail Abdul Muttalib, berkata ia termasuk penambahan sukarelawan bomba terutama di kawasan sering terdedah dengan bencana banjir.

“Memang terdapat keperluan menambahkan sukarelawan bomba terutama di kawasan yang terdedah pada kekerapan berlakunya banjir.

“Untuk itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah mengenal pasti lokasi yang di maksudkan untuk memudahkan soal penambahan anggota sukarela dilakukan.

“Selain bersiap sedia berdepan bencana banjir dari segi fizikal dan mental pihak jabatan perlu juga di sediakan dengan peralatan dan aset yang strategik dan sesuai,” katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Latihan Amal Pengurusan Bencana Banjir Pelbagai Agensi (M-DEX) di Dataran Chenor, di sini, hari ini. 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda;  Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin; Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad serta Pengarah JBPM Pahang, Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Tambah Ismail, kerana itu, amat penting untuk pihak berwajib seperti JBPM mengadakan hubungan dan kerjasama dengan komuniti setempat.

“Dengan itu, sukarelawan bomba ini boleh memantau perkembangan di kawasan yang terkesan selain memudahkan urusan dan kerja menyelamat dilaksanakan,” katanya. – HUSIN IBRAHIM