Kerajaan serius untuk memulihkan imej lorong Wong Ah Jang, kata Menteri Besar

Kerajaan serius untuk memulihkan imej lorong Wong Ah Jang, kata Menteri Besar

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN:  Imej lorong Wong Ah Jang, di sini, yang sebelum ini dilabel sebagai `red-light district’ akan dipulihkan secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai pihak.

Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri amat serius untuk memulihkan komuniti di kawasan itu.

Katanya, usaha beberapa agensi kerajaan termasuk Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bersama badan bukan kerajaan (NGO) diharapkan dapat membina kehidupan baharu yang lebih bermakna buat masyarakat di kawasan itu. 

“Saya percaya bukan mudah untuk memulihkan mereka. Namun, dengan kerjasama pelbagai pihak tidak mustahil misi berkenaan akan berjaya suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat projek tanaman cili bara secara cili fertigasi yang diusahakan lima individu komuniti lorong Wong Ah Jang, di sini, semalam. 

Projek berkenaan membabitkan kira-kira 2,000 polibag dan mula diusahakan pada awal Julai lalu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda. 

“Kita akan menjadikan program pemulihan komuniti lorong Wang Ah Jang sebagai model untuk digunakan di tempat lain dalam usaha menghapuskan aktiviti tidak bermoral di Pahang. 

“Kerjasama semua pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MUIP, Yayasan Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan  NGO serta pihak swasta menjadi faktor utama kejayaan program ini,” kata Menteri Besar.