PEKAN: Sekurang-kurangnya 1,421 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menerima bakul makanan daripada Kerajaan Pahang sempena Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang 2022.
Mereka menetap di sepuluh kampung Orang Asli dan setiap desa menerima di antara 55 dan 338 bakul berisi makanan keperluan harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain berkata sumbangan bakul makanan itu antara bukti keprihatinan Kerajaan Pahang terhadap masyarakat Orang Asli di daerah ini.
Katanya, Kerajaan Pahang bawah kepemimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa memberi perhatian kepada rakyat termasuk Orang Asli.
“Orang Asli boleh dianggap bertuah apabila sentiasa menerima pelbagai bantuan seperti makanan, kemudahan rumah, jalan dan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Penyampaian Bantuan Bakul Makanan kepada masyarakat Orang Asli di Balairaya Kampung Batu Gong, di sini, hari ini. – MOHD IMRAN IZZAD