JERANTUT: Kerajaan negeri sedang menyiapkan kira-kira 80 hektar kawasan rayau khas untuk gajah yang dipenuhi rumput jenis napier di Ulu Tembeling, sebagai alternatif mengelak haiwan itu menceroboh kampung.
Pengerusi Gajah Liar Pahang, Dato’ Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri sudah pun mewartakan kawasan antara Hentian Bukit Awan dan Kampung Kuala Sat, dekat Ladang Yayasan Pahang, sebagai kawasan rayau gajah liar itu.
“Kita sudah melantik syarikat untuk menyelenggarakan rumput napier di samping memulihara tanaman hutan yang sedia ada sebagai makanan gajah liar pada masa akan datang.
“Dengan adanya tanaman khas untuk gajah diharap haiwan itu tidak akan merayau ke kawasan kampung. Selain itu, ia dapat mengimbangi ekosistem dan berpotensi dijadikan produk ekopelancongan,” katanya.
Beliau berkata, konflik gajah dan manusia tidak dapat dielakkan kerana banyaknya berlaku pembangunan untuk aktiviti pertanian dan ladang sehinggakan kawasan rayau untuk makanan haiwan itu semakin terhad.
Oleh itu, Nazri berkata, pembukaan kawasan rayau khas itu diharap dapat menjadi penyelesaian terbaik konflik gajah dan manusia. – MUHAMMAD NAJMIE