Kerani serah PIN kad bank rugi RM4,950

Kerani serah PIN kad bank rugi RM4,950

Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerani wanita dari Mentakab, Temerloh, kerugian RM4,950 selepas diperdaya sindiket penipuan pinjaman wang yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 25 tahun membuat permohonan pinjaman melalui Internet, pada 18 April lalu.

“Pada 20 April, mangsa menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp yang menyatakan permohonannya diterima dan diminta untuk memberikan gambar bersaiz kad pengenalan dan dua kad bank miliknya termasuk nombor PIN.

“Kemudian mangsa diminta untuk memasukkan wang ke dalam kedua-dua akaunnya, masing-masing RM1,450 dan RM3,500,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pada 12 Mei lalu, mangsa mendapati wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya itu sudah tiada dan pemeriksaan mendapati wujud transaksi keluar masuk dalam kedua-dua akaunnya itu.

“Menyedari ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.