PEKAN: Petani di Pahang perlu berani menceburi aktiviti menghasilkan pelbagai produk hiliran berasaskan pertanian dalam usaha menambah pendapatan mereka.
Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Muhd Rizal Baharom, berkata antara produk hiliran yang boleh dihasilkan adalah kerepek pisang, keledek goreng, cendawan goreng, air rozel dan strawberi kering.
Menurutnya, permintaan terhadap produk hiliran berasas pertanian kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat sehinggakan pada masa tertentu ia tidak mencukupi.
“Petani perlu berani untuk mencuba dan cuba berniaga di pekan sehari, pasar pagi dan Pasar Tani sebelum melangkah lebih jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke projek tanaman cendawan milik usahawan Shafawira Ramlee di Pusat Pertanian Tanah Putih, di sini, semalam. – MOHD IMRAN IZZAD