Oleh Hafiz Awang
fikrahpahang@fikrahpahang.gmail.com
KUANTAN: Usaha untuk mencapai imuniti kelompok menjelang hujung 2021 dijangka dapat dipercepatkan melalui inisiatif Civil-Military Cooperation (CIMIC) hasil kerjasama Markas Angkatan Bersama (MAB) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan.
Inisiatif CIMIC yang bermula Selasa lalu itu mensasarkan vaksinasi sekurang-kurangnya 1,800 penduduk di FELDA Sungai Panching Selatan dan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Panching.
Menurut kenyataan media MAB, inisiatif itu adalah sebahagian daripada program imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan dijangka 600 penduduk menerima suntikan vaksin setiap hari.
“Program ini berlangsung tiga hari dan kita mendapat sokongan padu daripada pihak pengurusan FELDA Sungai Panching, Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Penduduk (JKKK) FELDA Sungai Panching Selatan dan JKKK PAKR Panching.
“Bagi pemberian dos kedua vaksin pula, penduduk akan menerima suntikan masing-masing bermula 24 Ogos ini di tempat sama iaitu di Dewan Semai Bakti FELDA Sungai Panching Selatan,” katanya.
Pelancaran inisiatif CIMIC pada Selasa lalu dihadiri Ahli Parlimen Paya Besar yang juga Timbalan Menteri Kewangan II, YB Mohd Shahar Abdullah dan Panglima MAB, Lt Jeneral Dato’ Yazid Arshad.
Penduduk, Husin Bakar 74, berkata beliau amat bersyukur dan amat berterima kasih atas inisiatif ini yang dijalankan oleh Ahli Parlimen Paya Besar.
“Ia amat memudahkan saya sebagai warga emas. Saya hanya menunggang motosikal untuk ke tempat pemberian vaksin,” katanya.