Kes HFMD di Pahang naik 19 kali ganda

Kes HFMD di Pahang naik 19 kali ganda

KUANTAN: Sebanyak 4,555 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pahang direkodkan dari 1 Januari sehingga kelmarin, meningkat 19 kali ganda berbanding 239 kes bagi tempoh sama, tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 175 kes atau 3.9 peratus adalah kes yang dikenal pasti hasil daripada penularan yang berlaku di Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA), Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) dan prasekolah.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 4,380 kes atau 96.1 peratus berlaku secara sporadik.

“Sehingga kelmarin, sebanyak 1,661 premis dilawati dan daripada jumlah itu 36 premis ditutup mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia hingga enam tahun iaitu sebanyak 4,058 kes atau 89.1 peratus, diikuti kumpulan usia 7 hingga 12 tahun iaitu sebanyak 417 kes atau 9.1 peratus dan 80 kes atau 1.8 peratus berlaku dalam kalangan individu berusia lebih 12 tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, majoriti kes HFMD pulih tanpa rawatan dan hanya 109 kes atau 2.4 peratus yang dimasukkan ke hospital untuk pemantauan lanjut. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN