Mutakhir ini kedengaran wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas mendapat perkenan KDYMM Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke – 15 kembali bertebaran samada melalui media sosial mahupun dalam ceramah-ceramah politik.
Ironinya, kerajaan yang dibentuk ini diputuskan hasil keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, tiada gagasan politik yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan sehinggalah mendapat perkenan KDYMM Tuanku untuk parti politik bersepakat menubuhkan kerajaan secara gabungan melibatkan parti-parti utama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Bebas yang menjadikan jumlah keseluruhan 148 Ahli Parlimen dengan majoriti 2/3.
Pembentukan Kerajaan Pahang melalui gabungan BN-PH yang telah mendapat perkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah merupakan satu lakaran sejarah landskap politik di Negeri Pahang selepas tiada gagasan parti politik yang mampu membentuk kerajaan bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negeri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditemubual selepas pelantikan pada 28 November lalu berkata, pembentukan kerajaan negeri Pahang juga adalah berlandaskan konsep Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, kesepakatan dicapai antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) buat pertama kali di negeri itu bagi memastikan pentadbiran dan pembangunan dapat diteruskan.
Keputusan PRU lalu BN memperoleh sebanyak 17 kerusi, PN menang 17 kerusi dan PH berjaya memperolehi lapan kerusi Dun.
Memetik titah ucapan KDYMM Pemangku Raja Pahang ketika Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang ke-15, baginda menasihatkan pemimpin bahawa pelantikan itu satu amanah untuk berkhidmat berbakti dan memelihara nasib rakyat, bukannya bermegah-megah dan tunjuk kuasa.
Titah ucapan Tuanku ini memberikan gambaran agar wakil-wakil rakyat yang dipilih perlu memberikan khidmat dan melaksanakan amanah sepertimana yang telah dijanjikan ketika kempen pilihan raya. Sekarang bukanlah masa untuk berpolitik yang akan menyebabkan pembangunan yang dirangka kerajaan untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terencat akibat agenda politik. Ingatlah rakyat memerhati apa yang dilakukan dan akhirnya keputusan ini akan dihakimi rakyat pada pilihan raya yang akan datang.
Oleh: Kabhi Ismail