KUANTAN: “Utamakan kestabilan negeri untuk kestabilan negara juga,” pesan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy berkata, kestabilan ekonomi dan politik negeri saling berkait rapat kerana akan membawa masuk pelaburan luar dengan baiknya dan akan melonjakkan perkembangan ekonomi.
“Contoh, ketika Johor berhadapan krisis politik, Pahang menerima kehadiran pelabur luar untuk berurusan dalam soal perniagaan pelaburan dan sebagainya sehinggakan jumlah pelaburan di negeri ini meningkat maju.
“Ini disebabkan ketika itu Pahang menjadi negeri pilihan utama pelabur kerana negeri ini lebih stabil kedudukannya ketika itu.
“Namun, apabila selepas Barisan Nasional (BN) kembali mengekalkan pentadbiran dalam keadaan stabil, Johor kembali menjadi tumpuan pelabur luar .
“Trend keadaan seperti ini adalah biasa. Begitu juga dengan negara. Kita dapati kemajuan ekonomi akan mula menyerlah apabila berlaku kestabilan politik.
“Bagaimanapun, semua pihak perlu memainkan peranan masing masing dalam memajukan ekonomi negeri dan pembabitan aktif penduduk adalah satu daripada faktor penyumbang itu,” kata Wan Rosdy berucap di majlis perasmian Karnival Saham Pahang bersama Bursa Malaysia di Kompleks Yayasan Pahang, di sini, hari ini. – HUSIN IBRAHIM