Kesyukuran berganda dalam sehari

Kesyukuran berganda dalam sehari

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Mustaffa Kamal

TEMERLOH: “Alhamdulillah, hari ini dua kali saya bersyukur. Pertama kerana kelulusan permohonan berniaga di kedai ini dan kedua, apabila YAB MB (Menteri Besar) umumkan diskaun untuk sewaan kedai,” kata Norliah Zainal Abidin, 55, dari Taman Paya Taram.

TEMERLOH 01 NOVEMBER 2021. Penyewa Kedai Desa Rakyat Kuala Kerdau, Dun Kerdau, Norliah Zainal AbidinĀ  bersama suaminya Zaharin Lambak. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

Norliah antara peniaga terpilih menyewa di Kedai Desa Rakyat Kuala Kerdau di sini yang menerima kunci disampaikan sendiri YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Kawasan rumah kami sering dinaiki air, contohnya awal tahun ini yang turut merosakkan stok barangan komputer yang hendak dijual.

“Dengan adanya kedai ini, bolehlah kami berniaga dengan lebih selesa dan pelanggan juga akan lebih mudah untuk cari atau nak baiki komputer,” katanya yang ditemui Fikrah Pahang selepas Majlis Penyerahan Kunci Kedai Desa Rakyat Kuala Kerdau dan Penyerahan Geran Motosikal Mobilepreneur Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau di Dewan Sri Ketumbit di sini, hari ini.

Maidah Mohd Husin, 34, peserta Program Mobilepreneur Dun Kerdau dari Kampung Bukit Lada, di sini, berkata, dia berasa lega apabila penantian selama tiga tahun untuk memiliki geran motosikal, tertunai hari ini.

TEMERLOH 01 NOVEMBER 2021. Penerima Geran Moto ‘Mobilepreneur’ Dun Kerdau, Maidah Mohd Hussin. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

“Rasa kega dan syukur yang amat sangat dengan bantuan ini dan kalau nak ikutkan, setiap seorang daripada kami yang sertai program ini dapat kira-kira RM10,000 untuk jalankan perniagaan bergerak termasuk diberikan motosikal jenama SYM,” katanya yang menjalankan perniagaan gunting dan dandanan rambut.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, program hari ini membabitkan pemberian bantuan tiga dalam satu iaitu penyerahan kunci Kedai Desa Rakyat Kuala Kerdau, penyerahan geran motosikal program Mobilepreneur dan pelbagai bantuan untuk masyarakat Dun Kerdau membabitkan peruntukan kira-kira RM300,000.

“Kerajaan negeri beri bantuan hari ini dalam RM300,000 manakala secara keseluruhannya di Dun Kerdau ini, sudah RM3 juta disalurkan.

“Hari ini juga kita setuju mengurangkan sewa Kedai Desa Rakyat Kuala Kerdau daripada RM700 kepada RM300 dan ada juga yang diberi RM200 selepas dipohon Adun (Ahli Dun) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad susulan Covid-19 dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya.