Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar
KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak akan mengeluarkan kelulusan bagi aktiviti perlombongan di kawasan pemeliharaan antaranya Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Rizab Perlindungan atau kawasan yang diwartakan secara khusus seperti tadahan air atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
Menterinya, Dato’ Sri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, seiring dengan fungsi kawal selia diperuntukkan kepada KeTSA, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga tidak akan mengeluarkan sebarang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi permohonan dalam kawasan terbabit.

“Kelulusan untuk kawasan selain itu tertakluk kepada penilaian dan kelulusan teknikal yang dapat menyediakan suatu tempat kerja selamat dan tidak membahayakan komuniti bersebelahan merangkumi flora dan fauna,” kataya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai Tasik Chini, beliau berkata, KeTSA sentiasa menyokong usaha dan komitmen Kerajaan Pahang dalam memelihara tapak rizab biosfera di kawasan berkenaan.
“Sebagai ‘national focal point’ (titik tumpu kebangsaan) bagi program ‘Man and the Biosphere’ (MAB) di bawah UNESCO, KeTSA sentiasa menekankan kepentingan memelihara kelestarian kawasan tapak rizab biosfera Tasik Chini bagi menyokong usaha mempertahankan pengiktirafan status tapak biosfera UNESCO.

“KeTSA sentiasa menekankan kepentingan memelihara kelestarian kawasan tapak rizab biosfera Tasik Chini bagi menyokong usaha-usaha mempertahankan pengiktirafan ini.
“Dasar dan hala tuju sudah ditetapkan dalam memastikan pengurusan dan pembangunan sumber asli dilaksanakan secara bertanggung jawab dan mampan,” katanya.
Kerajaan Pahang sebelum inni dilaporkan akan memperluaskan Hutan Simpan Chini kepada 6,000 hingga 7,000 hektar dan mempergiatkan pemuliharaan kawasan Tasik Chini.
Selain itu, Kerajaan Pahang bakal melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu, menghentikan aktiviti melombong di kawasan Tasik Chini serta mempertahankan status tapak biosfera UNESCO.
“Kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam perkara ini berdasarkan Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001, manakala kuasa kerajaan Persekutuan mengikut Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) menerusi skop kebenaran pengoperasian sesuatu aktiviti perlombongan,” kata Dr Shamsul Anuar.