Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar Umno Online
KUALA LUMPUR: YAM Tengku Panglima Besar, Tengku Azlan Almarhum Sultan Abu Bakar, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Bersatu Temerloh berkuat kuasa serta merta.
Sehubungan itu, beliau yang dikenali dengan panggilan Ku Lan, mengumumkan kembali menyertai UMNO.
Katanya, beliau mengambil keputusan untuk memilih kembali ke pangkuan UMNO kerana yakin dan percaya parti berkenaan menjadi tunjang kepada perjuangan orang Melayu dan Islam.

“Saya menyokong penuh pendirian YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang dalam isu perlembagaan baru-baru ini yang mana telah menimbulkan kesan dalam kalangan rakyat negara kita.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti mempertahankan perlembagaan negara tanpa mengira fahaman politik. Kita seharusnya mendokong Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan berdasarkan apa yang termaktub dalam Rukun Negara,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Tengku Azlan turut menyerahkan borang permohonannya untuk menyertai Umno melalui Bahagian Paya Besar kepada Wan Rosdy yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang.
“Saya memilih untuk menjadi ahli UMNO Bahagian Paya Besar. Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman dan bahagian Paya Besar atas kesudian menerima saya sebagal ahli UMNO bahaglan Paya Besar,” katanya.
Tengku Azlan yang juga adinda kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jerantut selama tiga penggal bermula 1999 hingga 2013 dan pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2004 hingga 2008.