PEKAN: Kewujudan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) perlu terus diperkasakan supaya orang kurang upaya (OKU) mendapat pendidikan dan bimbingan sewajarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chini, Mohd Sharim Md Zain, berkata dengan adanya PPDK, anak istimewa itu dapat melakukan aktiviti bersama.
“Oleh itu, saya mendoakan kepada setiap ibu bapa yang mempunyai anak istimewa ini untuk terus tabah dan bersabar dalam menguruskan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pada Program `Family’s Day Out’ PPDK DUN Chini 2022 yang berlangsung di Dewan Semai Bakti Chini Timur 3, di sini, semalam.
“Alhamdulillah, program ini diadakan untuk meraikan semangat kekeluargaan dan gembira kerana ia berjalan dengan lancar tanpa sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya.
Berdasarkan penubuhan PPDK, ia lebih kepada meningkatkan kualiti hidup golongan OKU ke tahap maksimum dan memulihkan mereka supaya boleh berfungsi sebagai orang biasa.
Selain itu, menyediakan peluang bagi OKU untuk membangunkan kebolehan dan kemahiran mengikut potensi mereka melalui sumber-sumber yang ada. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN