KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali akan menyertai Majlis Ulama UMNO.
Beliau akan ditugaskan untuk membantu Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad.
Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
“Tengah hari ini berkesempatan bertemu dengan Datuk Dusuki, sahabat lama yang saya isytiharkan namanya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Sabtu lalu sebagai Pengerusi Majlis Ulama UMNO yang baru ditubuhkan.
“Saya mengenali Dato’ Dusuki lama bukan sahaja sebagai ulama, pemikir dan veteran UMNO, tetapi sahabat yang saya sendiri pernah diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Menteri Kewangan untuk saya bantu Dato’ Dusuki yang diamanahkan selaku Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), manakala saya sebagai Pengerusi YADIM Holding,” katanya.
Tambahnya, sebagai ustaz berkelulusan Sarjana dalam Bidang Syariah daripada Universiti Al-Azhar, Dusuki pernah menjadi Ahli Parlimen Tumpat dan Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Wilayah serta Kementerian Penerangan dari tahun 1982 hingga 1990.
“Beliau juga pernah menjadi EXCO Pergerakan Pemuda UMNO (1976-1984), Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO dan Setiausaha Biro Agama UMNO.
“Selaku tokoh agama yang banyak pengalaman dan jaringan persahabatan dalam kalangan ulama dan cendekiawan Islam dalam serta luar negara, saya percaya beliau mampu membantu saya dan UMNO memperkukuhkan lagi agenda dakwah Islamiyyah, pendidikan Islam dan tarbiyah dalam parti.
“Insya-Allah, beliau akan dibantu Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang pernah menjadi Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS,” katanya. HELMY ABD RAHMAN