Khidmat pengerusi, anggota JPKK disambung dua tahun lagi

Khidmat pengerusi, anggota JPKK disambung dua tahun lagi

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@gmail.com.my

KUANTAN: Khidmat pengerusi dan ahli jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang akan tamat 31 Disember ini, akan disambung bagi penggal baharu bermula 1 Januari depan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri, semalam.

“Bagaimanapun, Mesyuarat MMK negeri turut menetapkan penerusan khidmat ini terkecuali bagi kes tertentu yang memerlukan penggantian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sehingga ini, katanya, terdapat 543 JPKK di seluruh Pahang dan setiap JPKK dianggotai masing-masing seorang pengerusi dan setiausaha yang dilantik dalam kalangan kepemimpinan UMNO setempat. 

“Selain itu, ia juga dianggotai 14 Ahli Jawatankuasa (AJK) terdiri daripada ahli UMNO dan dalam kalangan ahli PAS iaitu parti bersama UMNO dalam gagasan politik Muafakat Nasional (MN) di negeri ini.

“Pengumuman awal ini dapat memberi kelegaan dan kepastian mengenai kedudukan pengerusi, setiausaha dan AJK JPKK pada penggal akan datang, terutama bagi mereka yang  menunjukkan komitmen tinggi dan keberkesanan dalam melaksanakan tugas.

“Saya berharap mereka dapat meningkatkan lagi komitmen dan peranan mereka pada penggal baharu yang dijangka lebih mencabar supaya rakyat yang diwakili di kampung masing-masing mendapat perkhidmatan terbaik,” katanya.