KUANTAN: Lebih dua ratus pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Kuantan, di sini, menyertai Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan di Dewan Ibnu Al Awwam, di sini, pada 15 Ogos lalu.
Program itu diserikan lagi dengan kehadiran cucu pahlawan Mat Kilau, Mohd Al Hamadi Abu Bakar.
Pengetua SMPK Vokasional Kuantan, Najib Muhamad, berkata pada program berkenaan setiap pelajar dibekalkan dengan Jalur Gemilang bersaiz kecil untuk dikibarkan ketika menyanyikan secara beramai-ramai lagu Jalur Gemilang.
“Saya bangga melihat semangat yang ditunjukan pelajar ketika menyanyikan lagu Jalur Gemilang, perasaan cintakan negara jelas terpancar di wajah mereka,” katanya.
Pelajar masalah pembelajaran, Nik Syauqi Arif Nik Azma, 20, berkata dia gembira dapat turut sama terbabit pada pelancaran sambutan bulan kemerdekaan peringkat sekolah.
“Kami sama-sama menyanyi dengan penuh semangat dan kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda sayangkan negara,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD