Kilang proses silika di Sungai Karang bakal sedia 1,000 peluang kerja

Kilang proses silika di Sungai Karang bakal sedia 1,000 peluang kerja

KUANTAN: Sebanyak 1,000 peluang pekerjaan untuk anak tempatan dijangka dapat diwujudkan apabila kilang memproses dan membekal silika di Tanjung Gelang, Sungai Karang dekat sini, siap dibina dan memulakan operasi tidak lama lagi.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kilang milik MHT Silica Sdn Bhd (MSSB) itu bukan sahaja menjadi antara pengeluar silika terbaik dunia, malah dapat meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

“Hari ini, Kerajaan Pahang menandatangani Perjanjian Pajakan Antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan MSSB bagi memproses dan membekal pasir silika.

“Saya percaya projek ini dapat membuka peluang pekerjaan kepada 1,000 orang penduduk tempatan dan menaik taraf ekonomi masyarakat setempat selain menjadikan Pahang sebagai pengeluar pasir silika terbaik di dunia,” katanya kepada media selepas menyaksikan perjanjian pajakan antara PKNP dan MSSB di Kompleks Teruntum di sini, hari ini.

Majlis pemeteraian perjanjian itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Dato’ Mohd Faizal Jaafar dan Pengarah Syarikat MSSB, Nadiatul Amaleen Muhammad Hussain Tan.

Perjanjian berkenaan membabitkan pajakan tapak seluas 6.7 hektar di Kawasan Perindustrian Harbour Park, Tanjung Gelang, Mukim Sungai Karang dekat sini.

Sementara itu, Pengarah Urusan MSSB, Khairil Anwar Ghazali, berkata kilang terbabit yang dibina secara berfasa akan menelan kos pembinaan antara RM50 juta hingga RM100 juta.

“Kilang ini dijangka dapat memulakan operasi sekitar enam bulan selepas kita mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.

“Dengan jangkaan pengeluaran antara 500,000 sejuta tan metrik sebulan, syarikat mengunjurkan pulangan antara RM30 juta hingga RM50 juta setahun,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN