Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
PEKAN: Kelab Ikatan Srikandi Setia (KISS) mengagihkan juadah raya kepada petugas yang di tiga sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini, kelmarin.
Sumbangan turut diberikan kepada mereka yang bertugas di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Pekan.
Pengerusi KISS, Dato’ Nor Azita Abdul Rahman berkata,
juadah berkenaan diharap dapat menceriakan petugas barisan hadapan yang tidak berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing di kampung.
Menurutnya, bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hari ini bebanan tugas petugas barisan hadapan semakin bertambah apabila mereka terpaksa berada di SJR sepanjang hari.
“Kita memahami bebanan tugas yang terpaksa digalas mereka yang terbabit, sebagai bukti prihatin, KISS memberikan juadah raya kepada mereka.
“Mereka yang bertugas terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA,” katanya di sini, semalam.
Beliau menambah, terdapat tiga SJR di daerah ini iaitu SJR Kampung Ubai, SJR Tanjung Selangor dan SJR Sungai Mat Dulang serta CAC Pekan. Anggota terbabit bertugas 24 jam secara bergilir-gilir.
Nor Azita berkata, pihak KISS mendoakan semua petugas barisan hadapan diberikan kesihatan yang baik serta tabah serta tenang dalam menjalankan tugas diamanahkan bagi memastikan tidak berlaku aktiviti rentas daerah tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Tugas mereka mulia dalam memastikan wabak COVID-19 tidak terus bertambah di daerah serta negeri ini.
“Sebelum ini kita turut menyumbangkan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan dan mangsa banjir di daerah ini,” katanya.