Kit ujian kendiri COVID-19 RM19.90

Kit ujian kendiri COVID-19 RM19.90

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, berkuat kuasa 5 September ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan media bersama berkata, harga borong pula maksimum RM16.

Katanya, penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk memastikan harga berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.

“Permintaan terhadap kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) dijangka meningkat susulan kesedaran orang ramai dalam membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak COVID-19.

 “Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengadakan libat urus dengan semua pemain industri tempatan dan pengimport dalam menentukan harga kawalan yang berpatutan bagi semua pihak.

“KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku ke atas harga pelitup muka,” menurut kenyataan itu.

Bagi peniaga yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan, Nanta dan Khairy Jamaluddin berkata, tindakan akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

“Bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum yang dilakukan individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau keduanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi kesalahan syarikat pula, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.