Kita akan bantu sehabis baik, kata Wan Rosdy

Kita akan bantu sehabis baik, kata Wan Rosdy

BERA: Sekurang-kurangnya 1,154 unit rumah di bawah Program Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) sudah disiapkan dan diserahkan kepada pemohon manakala lebih 2,000 unit rumah masih dalam pembinaan. 

YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Kerajaan Pahang akan berusaha sehabis baik bagi memastikan generasi baharu FELDA mempunyai kediaman sendiri tanpa perlu berkongsi rumah dengan ibu bapa mereka.

Katanya, Kerajaan Persekutuan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri sudah menyerahkan 10 tapak projek Perumahan Generasi Baharu FELDA yang terbengkalai kepada Kerajaan Pahang, pada Mac lalu. 

“Semua tapak itu adalah di FELDA Jengka 1, Jengka 6, Jengka 11,  Jengka 12,  Sungai Retang,  Bukit Tajau, Bukit Sagu, Kota Gelanggi 2,, Kampung  Awah dan Keratong.

“Selain itu, kaedah baik pulih dan jualan adalah mengikut kaedah skim perumahan kerajaan negeri sedia ada dan akan dijenamakan semula sebagai skim di bawah kerajaan negeri,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Hari Peneroka  Felda 2022 di FELDA Rentam yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, semua 10 tapak yang terbabit diwartakan mengikut Seksyen 6 Akta Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) 1960. – MUHAMMAD NAJMIE