KUANTAN: “Kita bukan main-main,” tegas penyandang yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata demikian mengulas perancangan yang sedang dan akan dijalankan bagi merubah wajah Paya Besar untuk muncul sebagai bandar baharu bertaraf antarabangsa.
“Bandar Baharu Paya Besar ini akan menjadi ‘game changer’ (faktor pengubah) dan nadi kepada Parlimen Paya Besar serta hab baru bagi daerah Kuantan.
“Kalau kita dapat bangunkan bandar ini yang lebih lestari, mesra kepada teknologi dan mesra kepada sistem pengangkutan awam yang sistemetik, ia akan muncul sebagai hab yang lebih terkehadapan,” katanya kepada Fikrah Pahang ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Parlimen Paya Besar di sini, hari ini.
Bagi merealisasikan matlamat itu, kata Mohd Shahar, masyarakat di kawasan berkenaan memerlukan satu pasukan mantap yang berupaya melaksanakan setiap perancangan secara cepaat dan berkesan.
“Kita mesti memastikan ksinambungan segala perancangan yang dimulakan sejak 2018 dengan menampilkam kemantapan pasukan.
“Itu sebabnya BN mengemukakan dua muka baru dan mengekalkan dua muka lama bagi memastikan kita ada harapan baru dan pasukan yang akan diketengahkan esok adalah pasukan yang pada hemat kami mempunyai kemantapan pengalaman, keupayaan dan kredibiliti supaya pasukan yang mantap ini mampu membawa perancangan ini menjadi satu realiti,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN