Kita kena ikut trend, minda anak muda, kata Tok Wan

Kita kena ikut trend, minda anak muda, kata Tok Wan

KUANTAN: Pemimpin zaman ini perlu akur dengan trend pemikiran anggota masyarakat sekarang terutama di kalangan remaja.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sama ada mahu atau tidak, pemimpin perlu mendekati golongan itu secara sopan, dinamik dan berkesan.

Wan Rosdy berkata, sebahagian besar remaja kini tidak begitu meminati aktiviti yang berkonsepkan kemasyarakatan seperti sukan rakyat. 

“Dahulu kita menghabiskan masa lapang dengan bersukan yang membabitkan ramai penyertaan seperti gasing pangkah atau berbalas tembakan menggunakan peluru buah   cemperai.

“Tapi, remaja kini lebih banyak memberi tumpuan ke perkembangan teknologi digital. Mereka tidak lagi banyak bergaul sebaliknya bersendirian dan asyik dengan gajet. 

“Trend seperti ini kita perlu akur dan kita perlu ikut perkembangan minda dan pilihan mereka dengan pendekatan yang lebih bijak dan dinamik,” kata Wan Rosdy ketika mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat di Dewan Menteri Besar, Teluk Sisek, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abdul Rahim Muda; Ketua Bahagian UMNO Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustafar Kamal; Ketua Bahagian UMNO Kuantan , Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar dan Ketua Bahagian UMNO Paya Besar, Dato’ Ahmad Tajuddin Sulaiman.

“Kasih sayang kita sebagai ibu bapa kepada mereka (ramaja) boleh dikatakan sehingga anak-anak kita di alam persekolahan peringkat rendah. Apabila mereka di sekolah menengah, mereka disayangi oleh kumpulan ‘peer group’ (sebaya) mereka.

“Kemudian mereka akan disayangi oleh ‘girlfriend’ atau ‘boyfriend’ mereka. Seterusnya oleh suami dan isteri mereka. Begitulah seterusnya dengan masa berlalu, mereka disayangi oleh anak-anak mereka dan selanjutnya…selanjutnya,” kata Wan Rosdy. 

Wan Rosdy berkata, demikian juga dengan keadaan politik semasa apabila kepimpinan kini semakin kehilangan penyokong yang sebaya dan sedang berhadapan dengan pengundi atau pendokong yang jauh perbezaan umur, perwatakan dan bentuk pemikiran.

Beliau berkata, perubahan ini berlaku walaupun di luar jangkaan namun perlu diteladani dengan penuh berhemah, bijaksana dan perlu bekerja dengan berpaksikan ‘work smart’ dan ‘work hard’. 

“Ringkasnya kita tidak boleh bersikap `selfish’. Malah, kita perlu berfikiran terbuka. Kita buat yang terbaik untuk manfaat ramai. Membuat kebaikan yang lebih daripada berbuat sebaliknya,” katanya. – HUSIN IBRAHIM