Kita mesti ‘perform’, kata Wan Rosdy

Kita mesti ‘perform’, kata Wan Rosdy

MARAN: Ahli parti gabungan dalam Barisan Nasional (BN) perlu mengambil iktibar terhadap kisah beberapa syarikat multinasional Jepun yang jatuh muflis akibat masalah dalaman.

YAB Menteri Besar merangkap Pengerusi BN Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ini kerana masalah dalaman boleh menyebabkan ahli parti kehilangan fokus sekali gus merisikokan peluang untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Untuk menang dalam PRU-15, kita kena selesaikan beberapa perkara, yang pertama ialah ‘internal problem’ (masalah dalaman) kerana kalau tidak (diselesaikan) kita akan sembelih menyembelih sesama sendiri.

“Kita boleh tengok apa yang berlaku kepada beberapa syarikat multinasional di Jepun, antaranya Matsushita yang muflis yang mana antara sebab utamanya adalah masalah dalaman… jangan ada masalah dalaman (jika tidak) macam mana nak buat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam BN Maran di Dewan UMNO Pekan Tajau di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Ismail Abd Muttalib; Ketua Penerangan UMNO dan BN, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Setiausaha UMNO Pahang, Dato’ Sri Ab Hamid Nazahar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, ahli parti gabungan BN juga harus menerima dan terus menyokong calon yang ditampilkan untuk bertanding pada PRU-15 nanti.

“Saya harap sebagai jentera BN apabila sampai masa calon diputuskan, berilah keyakinan kepada saya dan pucuk pimpinan parti kerana kita akan letak calon yang kita yakin boleh menang.

“PRU bukan (perkara) main main, ini berkaitan dengan kuasa dan kita dah merasa bagaimana peritnya mengalami kekalahan, bagaimana kita dihina, diperkotak-katikkan dan sebab itu kita tak mahu berdepan kekalahan.

“Kita nak pastikan politik di Pahang ini stabil supaya rakyat nampak, kita boleh bantu mereka. Di Pahang ini, saya dan EXCO dah buat yang terbaik dan saya selalu pesan kepada EXCO kerajaan negeri, kita mesti ‘perform’ (cemerlang) kerana rakyat boleh menilai,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN