KUANTAN: Tiga puluh dua mesin jual air (MJA) disita berikutan pemiliknya menjalankan perniagaan tanpa lesen bagi tempoh 1 Januari hingga semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus, berkata sepanjang tempoh itu, 21 kompaun berjumlah RM42,000 dikeluarkan terhadap pemilik MJA terbabit.
Menurutnya, sitaan itu dilaksanakan mengikut Seksyen 4(1) (f) Akta Makanan 1983 dan kompaun mengikut Seksyen 32B kerana beroperasi tanpa lesen dan melanggar Peraturan 360 C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Menurut Peraturan 360C(4) mana- mana MJA yang didapati beroperasi tanpa lesen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah satu kesalahan.
“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas operasi dua hari pelesenan MJA di seluruh Pahang yang berakhir semalam, beliau berkata, enam mesin tidak berlesen disita manakala tujuh kompaun berjumlah RM14,000 dikeluarkan kepada pemiliknya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN