Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
BERA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini diberi kuasa penuh menguruskan vaksin berbanding dua kementerian sebelum ini.
Sebelum ini, pengurusan vaksin diuruskan secara bersama membabitkan KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata: “Perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian berkaitan.”
Beliau berkata demikian dalam sidang medianya selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1 Briged 10 Para Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Batu Bor, di sini, hari ini.
Turut hadir Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan KSU Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.
Kira-kira 1,900 pegawai dan anggota bersama 150 aset logistik terbabit dalam eksesais 14 hari itu.
Ismail Sabri berkata, MOSTI akan diberi peranan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin.
“Penghasilan vaksin sendiri adalah penting bagi mengelak pergantungan kepada negara luar selain persediaan sekiranya COVID-19 menjadi endemik seperti denggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertukaran portfolio antara Khairy Jamaluddin dan Dato’ Sri Dr Adham Baba selepas pengumuman barisan Kabinet, petang semalam.
Sebelum ini, Khairy adalah Menteri MOSTI dan juga Menteri Penyelaras Vaksin COVID-19 manakala Dr Adham pula Menteri Kesihatan.