Kolej kediaman UMP berkonsepkan wakaf pertama di negara

Kuantan 28 April 2023 (Fikrah Pahang) – Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini memiliki penginapan mahasiswa berkonsepkan wakaf apabila Kolej Kediaman Mawaddah yang terletak di UMP Pekan dirasmikan hari ini.

Kolej Kediaman Mawaddah di tapak seluas 2.0 ekar ini merupakan inisiatif pengurusan universiti bersama Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi membantu penginapan pelajar yang kurang berkemampuan.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditemui selepas merasmikan kolej tersebut berharap dengan terbinanya kolej kediaman berkonsepkan wakaf pertama di negara ini, golongan mahasiswa yang kurang berkemampuan ini dapat meneruskan pelajaran dengan tenang dan selesa.

Turut hadir, Pro Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abu Musa Asa’ari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, Naib Canselor UMP, Prof Dato Dr Yuserrie Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi Hussain dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) KPT, Dato’ Dr. Mohd Zabri Yusoff.

Dato’ Sri Wan Rosdy juga turut memeriah sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat UMP.

Oleh: Hariz Mustafa