Komisyen tak ada, rugi pula lebih RM30,000

Komisyen tak ada, rugi pula lebih RM30,000

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Seorang lelaki rugi RM36,496.95 apabila ditipu dengan tawaran pekerjaan yang kononnya menjanjikan dirinya kerjaya sebagai ejen jualan rancangan beli-belah di televisyen. 

Tawaran berkenaan kononnya menjanjikan lelaki berusia 27 tahun itu, yang juga pereka dalaman komisyen yang tinggi. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menetap di Sungai Lui, Raub, melihat satu iklan tawaran kerja itu di Facebook.

“Mangsa klik pautan, disambung ke aplikasi Whatsapp dan berhubung dengan pemilik akaun Facebook berkenaan dikenali sebagai ‘Michelle’.

“Mangsa diberitahu bahawa dia boleh menggunakan nama Michelle sebagai ejen jualan dan tetapi diminta membuat pembayaran ke atas barangan yang ditawarkan, 

“Sekiranya barang terbabit dapat dijual, mangsa akan menerima komisen kira-kira lima peratus,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian membuat tujuh transaksi pemindahan wang dalam talian ke dua akaun di atas nama dua individu berbeza berjumlah RM36,496.95 dalam semalaman.

“Selepas mangsa membuat semua bayaran, dia masih tidak menerima bayaran komisen daripada suspek menyebabkan dirinya berasa tertipu dan membuat laporan polis.

“Kes ini masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya mangsa dengan tawaran kerja tidak wujud di Facebook sehingga mendorong mangsa memasukan wang dan mengalami kerugian,” katanya.