Komitmen Kerajaan Pahang demi memartabatkan Islam

Komitmen Kerajaan Pahang demi memartabatkan Islam

KUANTAN: “Kerajaan negeri menerusi Jaip (Jabatan Agama Islam Pahang) sudah membelanjakan lebih RM5 juta untuk melaksanakan beberapa inisiatif YAB Menteri Besar,” kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Katanya, antaranya membabitkan pembelian pembelian sebanyak 16 buah kenderaan, bayaran khas ‘one-off’ RM300 kepada 350 orang guru Quran asrama.

“Juga diagihkan untuk insentif kecemerlangan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) 2020 bagi Sekolah Menengah Agama Negeri (Sman) dan saguhati kepada 31 pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (Stam) Sman Pahang yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Pengagihan seterusnya untuk bayaran khas one-off RM750 kepada 1,032 imam kariah; bayaran khas one-off RM250 kepada 888 bilal dan 889 siak; bayaran khas one-off RM300 kepada 2,628 guru Kafa; bayaran khas one-off RM500 kepada 401 orang guru takmir; penyelia surau atau masjid (15) dan penyelia Kafa (40), inisiatif pemberian jubah pegawai masjid kepada 5,829 imam, bilal dan siak serta insentif khas pasangan pengantin,” katanya.

Menurutnya, untuk tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM119.64 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM9.62 juta perbelanjaan pembangunan untuk Jaip seperti diumumkan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika membentangkan Belanjawan 2022 Pahang, Isnin lalu. – HELMY ABD RAHMAN