Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
CAMERON HIGHLANDS: Sebagai tanda sokongan dan suntikan semangat, 13 pelajar di kawasan Parlimen Cameron Highlands menerima komputer riba dan wang tunai.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor berkata, pada majlis penyerahan sumbangan itu semalam, lapan pelajar yang menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda menerima komputer riba dan wang tunai RM500.
Katanya, lima pelajar yang menyambung pengajian peringkat diploma pula menerima wang tunai RM500.
“Saya gembira melihat anak-anak muda ini berjaya melanjutkan pelajaran mereka walaupun dalam keadaan pembelajaran yang dilakukan secara dalam talian.
“Diharapkan sumbangan ini sebagai pembakar semangat dan membantu meringankan bebanan keluarga mereka,” katanya.
Pada majlis itu juga, Kelab Polis Daerah Cameron Highlands dan Pasti At-Thoriq Cameron Highlands, masing-masing menerima RM7,000 manakala Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (C) Cameron Highlands pula menerima RM10,000.