Koperasi di kawasan FELDA pun dapat tanah

Koperasi di kawasan FELDA pun dapat tanah

JERANTUT:  Kerajaan Pahang  memberi peluang baru   kepada koperasi yang aktif di FELDA  di negeri ini untuk  memiliki tanah. 

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata,  dengan adanya pemilikan tanah ia akan meningkatkan lagi jumlah aset dan dapat membangunkan lagi koperasi FELDA  di negeri ini. 

Katanya, pada masa ini kerajaan negeri sedang melaksanakan program pemutihan tanah FELDA melalui pemberian hak milik kepada koperasinya. 

Menurutnya, sehingga ini, 23 koperasi FELDA sudah menghantar permohonan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang yang kini dalam tindakan jabatan itu. 

“Inilah hasrat kerajaan negeri. Malah, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), 5 Januari  lalu, meluluskan cadangan pemberian hak milik  tanah kerajaan negeri  kepada koperasi di kawasan FELDA. 

“Pemberian hak milik itu  yang diluluskan itu adalah mengikut Seksyen 76 Kanun Tanah Negara ( Akta 828) atau mengikut Seksyen 10 Akta Tanah (kawasan penempatan Berkelompok) 1960,” katanya. 

Beliau berkata,  kelulusan itu adalah bagi tujuan tapak bangunan, perindustrian dan pertanian kepada syarikat kerjasama koperasi FELDA dalam penempatan berkelompok, bagi kawasan yang dibangunkan sahaja. 

“Dengan pemilikan ini, mereka dapat terus beroperasi tanpa sebarang kerisauan kehilangan hak milik jika berlaku apa-apa pada masa akan datang. 

“Kerajaan Pahang juga dapat memastikan pertambahan pendapatan kepada warga peneroka dengan menjadikan koperasi sebagai platform perniagaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Pahang di Dewan Majlis Daerah Jerantut, hari ini. 

Hadir sama  Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Dato’ Nazri Ngah dan  Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia cawangan  Pahang,  Radiatul Fitri Dollah. 

Dalam pada itu beliau mahu koperasi memperkasakan diri dan meningkatkan daya saing agar dapat terus maju dan merebut peluang ekonomi yang ada. – MUHAMMAD NAJMIE