KUANTAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang mengeluarkan sekurang-kurangnya 621 permit sembelihan haiwan ternakan untuk ibadah korban pada Aidiladha 1443 Hijrah.
Pengarahnya, Dr Kamaliah Ghazali berkata, permit berkenaan membabitkan 3,796 lembu, kerbau, kambing dan bebiri yang akan disembelih di Pahang.
Menurutnya, 1,075 haiwan akan dikorbankan di Kuantan, diikuti daerah lain membabitkan di antara 32 dan 447 ternakan.
“Hampir 87 peratus haiwan yang akan dikorbankan membabitkan lembu manakala baki adalah kerbau, kambing dan bebiri.
“Permit dikeluarkan kepada individu, surau dan masjid. Jumlah haiwan yang akan dikorbankan pada Aidiladha juga bertambah berbanding tahun sebelumnya,” katanya, di sini, hari ini. – MOHD IMRAN IZZAD