Kosma agih dividen 55 peratus khamis ini

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika mengumumkan dividen Kosma 2021, turut kelihatan Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak (kiri) dan Pentadbir Kosma, Dato’ Zazali Haron.

KUANTAN 11 April 2023 (Fikrah Pahang ) Seramai 1,430 ahli Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) akan menerima agihan dividen bagi tahun 2022 sebanyak 55 peratus dengan jumlah keseluruhan membabitkan RM30.4 juta.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan keuntungan itu, dicadangkan bayaran dividen sebanyak 55 peratus akan dibayar kepada semua anggota yang layak pada tahun 2022.

Berdasarkan perolehan atau hasil sektor perladangan untuk tahun 2022, Kosma mencatatkan hasil pendapatan berjumlah RM237 juta berbanding RM222 juta pada tahun 2021

“Keuntungan bersih Kosma pada tahun lalu meningkat RM84 juta berbanding RM74 juta ringgit pada tahun 2021” katanya dalam hantaran di laman media rasmi Facebooknya semalam.

Beliau berkata, bayaran pendahuluan 10 peratus yang akan dibayar secara berperingkat bermula 13 April 2023 ini serta keuntungan Unit Ladang sebanyak RM6,500 ringgit seunit yang akan dibayar penuh mengikut unit yang dimiliki oleh anggota.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, Penasihat Undang-Undang Pahang, Dato’ Saiful Edris dan Pentadbir Kosma yang baharu dilantik, Dato’ Zazali Haron.


Oleh: Kabhi Ismail