Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Koperasi Serbausaha Makmur Bhd (KOSMA) mengunjurkan bayaran dividen modal syer sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus kepada anggotanya untuk tahun kewangan semasa.
Malah, Pentadbirnya, Zahari Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan untuk membayar dividen modal syer lebih daripada itu.
Katanya, sasaran itu sama seperti bayaran dividen modal syer untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
“Kita sasarkan paling kurang dividen modal syer sebanyak 30 peratus dan RM3,300 per unit bagi keuntungan unit ladang, sama seperti tahun lalu
“Tahun lalu, kita bayar dividen modal syer dan unit ladang lebih tinggi iaitu membabitkan bayaran keseluruhan RM37.64 juta, berbanding 2019 yang mencatatkan dividen modal syer 25 peratus dan RM3,000 per unit bagi keuntungan unit ladang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Fikrah Pahang ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Teluk Sisek di sini.
Zahari berkata, beliau yakin sasaran diletakkan itu mampu dicapai, walaupun terpaksa berdepan penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Meskipun berdepan pandemik COVID-19, sasaran ini realistik berikutan harga pasaran semasa, nilai ringgit dan kutipan hasil sepanjang tahun.
“Tahun lalu kita dapat beri dividen dan keuntungan unit ladang tinggi kerana harga pasaran dan nilai ringgit sahaja tetapi untuk tahun kewangan semasa, kita juga mencatat pengeluaran hasil yang tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, proses pemutihan KOSMA dari segi semakan fail, kini selesai.
“Bagaimanapun tindakan susulan sedang berjalan dan setakat ini kita dah tamatkan keanggotaan 50 individu kerana tidak cukup syarat ditetapkan dalam Undang-Undang Kecil 11 KOSMA.
“Kita juga sudah memulangkan semula modal syer semua individu berkenaan,” katanya.