Kotak kuih raya buat golongan miskin 

Kotak kuih raya buat golongan miskin 

KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menerima sumbangan dua ratus kotak kuih raya daripada Yayasan Petronas untuk diagihkan kepada golongan miskin.

Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kuantan dan PKMD Bera, masing-masing memperoleh seratus kotak untuk diagihkan.

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, sumbangan itu adalah di bawah Program Sentuhan Kasih Aidilfitri 2022 Yayasan Petronas.

Menurutnya, setiap kotak terdapat 18 jenis kuih raya dan cecair basmi kuman (hand sanitizer).

Katanya, kakitangan PKMD Kuantan dan PKMD Bera akan segera mengagihkan kotak kuih raya kepada golongan miskin yang berdaftar dengan JKM di dua daerah berkenaan.

“Saya bagi pihak JKM mengucapkan terima kasih pada Yayasan Petronas yang tampil menyumbang kuih raya kepada JKM untuk diagihkan kepada mereka yang layak.

“Kuih raya disediakan diharap dapat menggembirakan setiap penerima yang mungkin tidak dapat menyediakan juadah Aidilfitri,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sentuhan Kasih Aidilfitri 2022 Yayasan Petronas yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Petronas Pantai Timur, Azeman Said.